Monolog 14: Mama

Hati meronta ingin bercerita
Tangan kaku menaip aksara
Mulut enggan mulakan bicara
Aqal terus mentafsir...
putih hitam tiap persoalan
Sudahnya aku hanya diam
Biar kalah dalam hujah
Harap menang dalam istiqamah

Buat pertama kalinya, saya berbual lama dengan mama di corong telefon. Lebih sejam. Seingat saya, paling lama saya mampu bertahan sebelum ini hanya dalam 10 minit. Tidak lebih dari itu. Bukan sebab saya langsung tiada masa, apatahlagi sekadar alasan tidak ber'kredit', walhal yang sering menelefon saya adalah mama sendiri. Jika saya yang mula menelefon, awal-awal lagi diletaknya gagang. Barulah hubungi saya semula. Faham benar dia kondisi saya yang kadang-kadang (eh, silap! SELALU) 'kering kontang' ini.hehe.

10 minit tu kira 'threshold' saya untuk bertahan. Saya mahu kelihatan gembira, ceria dan bahagia ketika berbual dengan mereka. Jika saya mula batuk atau suara sudah bertukar serak ala-ala rockers, seringkali saya tangguhkan hasrat untuk menghubungi mama. Paling tidak pun, sekadar SMS memaklumkan saya sedang sibuk. Sibuk menyembuhkan diri supaya secepat mungkin saya dapat menelefon mereka semula. Harap ini bukan sikap yang menipu. Saya manja? terpulang.

Banyak yang kami bincangkan semalam - tentang puasa, raya, study, dan paling penting pilihan posting kerja. Bertahun hidup berasingan begini, saya rasa semakin 'jauh' dengan mama. Jauh bukan kerana dipisahkan jarak beribu batu. Bukan juga kerana saya sudah disibukkan dengan pelbagai urusan lain. Saya cuma rasa saya semakin "kedekut" dengan semua orang. Kawan baik saya sebutnya sebagai 'cedekut'. Entah dari mana dikutipnya istilah tu. Saya kedekut untuk berkongsi rasa atau masalah dengan orang lain. Termasuklah dengan mama. Maaf, ma. Saya boleh mendengar masalah sahabat-sahabat lain berjam-jam setiap hari, tapi untuk saya sendiri buka mulut dan menceritakan masalah saya: Saya tak pandai. Tak kiralah masalah itu sekecil zarrah atau seberat mana sekalipun. Saya memang tak pandai untuk bercerita. Dan kerana sikap ala-ala tiada perasaan itu, sahabat terdekat saya selalu menyebutkan yang beliau cemburu melihat saya bahagia dengan hidup saya. haha. apa-apalah. Hidup mesti terus.

Semakin jauh kita berjalan
semakin hampir ke garis permulaan
Garisan asal di awal kejadian.

Perjalanan sejauh ini..
dilalui tanpa disedari
Mungkin selesa kerana jalannya yang lurus dan tiada persimpangan
Mungkin juga terbiasa kerana dari mula lagi jalannya berlingkaran

Semakin lama kita mencari..
semakin banyak yg kita temui
Juga bertambah yg tidak kita fahami

Makin sarat ilmu di dada
Makin tunduk pada Penguasa
Sepertinya kita punyai segala
Walau hakikatnya tak memiliki apa-apa

Perjalanan masih jauh
Tangan dan kaki sesekali terasa lenguh
Biarlah berat beban yang digalas
Asalkan tak lupa pada 'bekal' yg sebekas.

Hidup dan masalah saya tidaklah segah mana jika ingin dikisahkan layaknya penglipur lara. Nanti ada masanya, saya kongsikan kisah hidup orangtua saya. Dan ketika tu nanti, sila siapkan sekotak tisu di kanan anda. ok.hehe.


Monolog 13: Pilihan

Assalamualaikum.

1) Lama tidak menulis di sini. Blog ini ibaratnya penyimpan mohor besar diraja saya. Jika sedang bingung, keliru dan cuba menata hati dan rasa, di sini mungkin tempat yang sesuai sebagai pelantarannya.

Blog yang satu lagi agak serius. Sejak akhir-akhir ini saya "bertarik tali" sama ada untuk meneruskan blogging di sana atau sudah tiba masanya saya "bersara" saja dari kerusi penulis picisan ini. Demi menghentikan prasangka-prasangka yang datang dari arah yang tidak disangka-sangka. Saya penat bermain hujjah dalam diri. Pro dan kontra. Akhirnya, saya letakkan blog tersebut dalam status "protected". Sudah kerapkali saya tukar-tukar statusnya. Sehinggakan salah seorang kawan baik saya di alam maya "bising" dengan sikap ala-ala lalang saya itu. Kalaulah dia faham...atau kalaulah yang terus berprasangka itu cuba untuk faham. Alangkah bahagianya hidup.

Saya orang yang sangat tidak suka berandai-andaian. Sama ketika saya menulis atau blogging. Saya bersangka baik bahawa yang membaca cukup membaca dan mengambil ikhtibar di mana yang perlu, tanpa mempersoalkan apapun selain itu. Niat saya mudah, dan saya tidak perlu menerangkan berkali-kali hanya untuk meyakinkan siapa-siapa. Jika dari persoalan niat ini saja, saya dipersoalkan, lebih baik saya tarik diri dari terus menimbulkan provokasi dan menyerahkan hati yang kian parah ini untuk disiat-siat lagi.

Satu lagi, saya bukan kanak-kanak yang terbata-bata menilai yang mana boleh dan tidak; yang mana halal atau haram; yang mana betul atau salah.

2) Pilihan datang lagi. Pilihan yang membuatkan saya dalam dilema. Di satu sudut, saya rasakan persoalan tersebut bukanlah satu persoalan yang terlalu penting. (Biar benar?). Atau mungkin dengan kata lain yang lebih sesuai, saya bukan siapa-siapa yang penting untuk difikirkan. Saya telah ajukan dengan sangat hormat untuk meminta pandangan kepada beberapa sahabat terdekat. Tolong saya untuk buat pilihan, dan apa pun pilihan saya nanti, tolong jangan tinggalkan saya termangu-mangu sendirian. Kerana pilihan ini nanti, akan saya pikul kesannya dalam tempoh masa yang panjang.

Memilih untuk terus bertahan di sini , atau balik saja ke kampung halaman. Bagai sireh pulang ke gagang. Asyik benar bunyinya. Saya punya masa yang singkat untuk memilih. Dan prioriti saya hanya satu ketika ini. Saya mahu menjadi orang yang tegar di jalan yang telah saya pilih di mana saja saya ditakdirkan untuk pergi. Tapi, meluah azam sehebat itu, bukan semudah lafaz lisan. Saya cuba untuk pujuk hati. Pinta padaNya agar tunjukkan sebaik-baik pilihan. Saya tidak faham kenapa saya terlalu emosional dalam hal yang satu ini.

Bila difikir-fikir. Saya cuma ada dua pilihan.
1. Balik ke Sabah. Untuk ini, saya tidak perlu bersusah-susah untuk memilih. Dengan mudah saja, permintaan saya akan diluluskan. Mahu ke mana? Hospital QE, KK? Hospital Tawau? Hospital Sandakan?. Ditambah dengan kondisi kesihatan orang tua saya yang semakin teruk, saya kira bukan suatu yang melampau jika saya pilih untuk pulang saja ke kampung halaman. Habis cerita.

But, my complex thinking always makes simple thing complicated. Dan, harapan saya apa-apa yang saya fikirkan ini tidak sampai dikatakan poyo, mengada-ada, atau risau tidak bertempat. Saya masih waras untuk meletakkan "prioriti utama" itu ditempat teratas. Saya tidak mungkin akan mengenepikan apa yang saya perolehi sepanjang singgah di perantauan ini. Itu bodoh sombong namanya. Memang bukan suatu yang mustahil untuk saya meneruskan semua itu di seberang sana. Persoalannya, kuatkah saya?

Semua tahu hidup sebagai doktor pelatih itu ibarat robot. Sehinggakan salah seorang sahabat saya menisbahkannya sebagai 8:2. 80% untuk kerja dan 20% untuk tidur! Saya tidak cukup yakin saya bersedia fizikal dan mental untuk memulakan dua tugas yang sangat mencabar seperti itu dengan berseorangan terkial-kial tanpa sahabat sefikrah seperti di sini. Kerja yang hukumnya HARUS tetapi tetap wajib di mata manusia DAN kerja yang hukumnya WAJIB dan sentiasa WAJIB bagi saya. Tidak kira apa kata orang lain.

2. Atau saya masih perlu berada di sini? Di lubuk hati terdalam, ada kecenderungan untuk pilihan ini. Sekali lagi, saya cuba meluruskan niat supaya ini semata-mata demi "prioriti" yang satu itu. Saya cuba, cuba dan akan cuba. Tetapi, pilihan ini seakan-akan mimpi dan angan-angan bagi saya. Pertamanya, kerana bilangan kekosongan untuk HO di sekitar lembah klang boleh dikatakan sangat-sangat terhad. Fakta ini saya yakin kebenarannya memandangkan tempoh HO yang dipanjangkan kepada 2 tahun yang akibatnya - lambakan HO di hospital-hospital utama sekitar lembah klang. Dan ini disampaikan sendiri oleh wakil dari Kementerian Kesihatan yang menguruskan penempatan HO baru setiap tahun.

Ditambah satu lagi kemungkinan yang paling mendasar. Saya kelahiran sabah, berasal dari sabah, membesar dan beralamat tetap di Sabah. Maka, tidak ada alasan untuk saya memohon untuk bekerja di semenanjung ni. Cuma ada dua alasan yang agak BERAT dan JANGGAL bagi saya untuk menyokong permintaan saya, jika saya masih berdegil untuk minta berkhidmat di sini - tunang atau kahwin . Haih! Benarkah ia "semudah" itu?

12 hari lagi untuk kembali ke kampung halaman. Orangtua saya berhak untuk tahu dan campurtangan dalam pilihan saya nanti. Masa makin suntuk, dan saya makin bingung.
Redhakan hatiku Ya Tuhan!

Now, am asking myself..am i a complex thinker? or sounds 'desperado'?

Monolog 12: Sebak

Malam itu saya kata saya mahu bangun lewat, supaya saya tinggalkan semuanya hanya dalam mimpi-mimpi saya. Saya ingin lupa bahawa hari keputusan sudah hampir tiba. Dan pernah pada hari yang lalu, saya mahu tarikh ini dipadam, biarkan menjadi tahun lompat. Pernah juga saya katakan saya mahu invi pada semua orang agar mereka tidak perlu melihat dan mengambil tahu segala yang mengalir dalam relung jiwa dan raut wajah.

Terlalu banyak yang ingin saya perkata dan lakukan, segalanya kerana tarikh ini. Nyata itu mudah-mudahan tidak lebih tragis dari igau dan khayal. Saya salah, saya perlu akur.

Kalau saya mahu hilang saja tanpa jejak boleh? Saya suka buat tindakan drastik, buat-buat meletup satu dunia. konon. tapi, syaratnya tiada satu orang pun yang akan susah sebab tindakan ala kanak-kanak ribena saya tu. Dan tolong, jangan ada siapa pun yang akan khabarkan ke seberang sana yang anak kesayangan orang tua saya (ini) sedang sakit parah.

Jangan sekali-kali!

Tak terucap beratnya rindu saya pada mereka, sedang di satu sisi yang lain saya takut luluh hati dan air mata turun harga menjadi sangat murah. Bukan egois. sekali lagi, bukan. Saya cuma tidak sanggup balik sebagai anak yang menjentik lara di hati mereka.

Saya mahu kongsi tentang itu di sini, tapi saya tidak ingin kamu faham maksud bahasa saya. Yang pasti; saya tidak gagal dalam exam; saya tidak berpatah arang dengan siapa-siapa; saya tidak sedang angau putus cinta bertalak tiga..abaikan saja. Satu hari saya akan cerita juga