Assalamualaikum.
1) Lama tidak menulis di sini. Blog ini ibaratnya penyimpan mohor besar diraja saya. Jika sedang bingung, keliru dan cuba menata hati dan rasa, di sini mungkin tempat yang sesuai sebagai pelantarannya.
Blog yang satu lagi agak serius. Sejak akhir-akhir ini saya "bertarik tali" sama ada untuk meneruskan blogging di sana atau sudah tiba masanya saya "bersara" saja dari kerusi penulis picisan ini. Demi menghentikan prasangka-prasangka yang datang dari arah yang tidak disangka-sangka. Saya penat bermain hujjah dalam diri. Pro dan kontra. Akhirnya, saya letakkan blog tersebut dalam status "protected". Sudah kerapkali saya tukar-tukar statusnya. Sehinggakan salah seorang kawan baik saya di alam maya "bising" dengan sikap ala-ala lalang saya itu. Kalaulah dia faham...atau kalaulah yang terus berprasangka itu cuba untuk faham. Alangkah bahagianya hidup.
Saya orang yang sangat tidak suka berandai-andaian. Sama ketika saya menulis atau blogging. Saya bersangka baik bahawa yang membaca cukup membaca dan mengambil ikhtibar di mana yang perlu, tanpa mempersoalkan apapun selain itu. Niat saya mudah, dan saya tidak perlu menerangkan berkali-kali hanya untuk meyakinkan siapa-siapa. Jika dari persoalan niat ini saja, saya dipersoalkan, lebih baik saya tarik diri dari terus menimbulkan provokasi dan menyerahkan hati yang kian parah ini untuk disiat-siat lagi.
Satu lagi, saya bukan kanak-kanak yang terbata-bata menilai yang mana boleh dan tidak; yang mana halal atau haram; yang mana betul atau salah.
2) Pilihan datang lagi. Pilihan yang membuatkan saya dalam dilema. Di satu sudut, saya rasakan persoalan tersebut bukanlah satu persoalan yang terlalu penting. (Biar benar?). Atau mungkin dengan kata lain yang lebih sesuai, saya bukan siapa-siapa yang penting untuk difikirkan. Saya telah ajukan dengan sangat hormat untuk meminta pandangan kepada beberapa sahabat terdekat. Tolong saya untuk buat pilihan, dan apa pun pilihan saya nanti, tolong jangan tinggalkan saya termangu-mangu sendirian. Kerana pilihan ini nanti, akan saya pikul kesannya dalam tempoh masa yang panjang.
Memilih untuk terus bertahan di sini , atau balik saja ke kampung halaman. Bagai sireh pulang ke gagang. Asyik benar bunyinya. Saya punya masa yang singkat untuk memilih. Dan prioriti saya hanya satu ketika ini. Saya mahu menjadi orang yang tegar di jalan yang telah saya pilih di mana saja saya ditakdirkan untuk pergi. Tapi, meluah azam sehebat itu, bukan semudah lafaz lisan. Saya cuba untuk pujuk hati. Pinta padaNya agar tunjukkan sebaik-baik pilihan. Saya tidak faham kenapa saya terlalu emosional dalam hal yang satu ini.
Bila difikir-fikir. Saya cuma ada dua pilihan.
1. Balik ke Sabah. Untuk ini, saya tidak perlu bersusah-susah untuk memilih. Dengan mudah saja, permintaan saya akan diluluskan. Mahu ke mana? Hospital QE, KK? Hospital Tawau? Hospital Sandakan?. Ditambah dengan kondisi kesihatan orang tua saya yang semakin teruk, saya kira bukan suatu yang melampau jika saya pilih untuk pulang saja ke kampung halaman. Habis cerita.
But, my complex thinking always makes simple thing complicated. Dan, harapan saya apa-apa yang saya fikirkan ini tidak sampai dikatakan poyo, mengada-ada, atau risau tidak bertempat. Saya masih waras untuk meletakkan "prioriti utama" itu ditempat teratas. Saya tidak mungkin akan mengenepikan apa yang saya perolehi sepanjang singgah di perantauan ini. Itu bodoh sombong namanya. Memang bukan suatu yang mustahil untuk saya meneruskan semua itu di seberang sana. Persoalannya, kuatkah saya?
Semua tahu hidup sebagai doktor pelatih itu ibarat robot. Sehinggakan salah seorang sahabat saya menisbahkannya sebagai 8:2. 80% untuk kerja dan 20% untuk tidur! Saya tidak cukup yakin saya bersedia fizikal dan mental untuk memulakan dua tugas yang sangat mencabar seperti itu dengan berseorangan terkial-kial tanpa sahabat sefikrah seperti di sini. Kerja yang hukumnya HARUS tetapi tetap wajib di mata manusia DAN kerja yang hukumnya WAJIB dan sentiasa WAJIB bagi saya. Tidak kira apa kata orang lain.
2. Atau saya masih perlu berada di sini? Di lubuk hati terdalam, ada kecenderungan untuk pilihan ini. Sekali lagi, saya cuba meluruskan niat supaya ini semata-mata demi "prioriti" yang satu itu. Saya cuba, cuba dan akan cuba. Tetapi, pilihan ini seakan-akan mimpi dan angan-angan bagi saya. Pertamanya, kerana bilangan kekosongan untuk HO di sekitar lembah klang boleh dikatakan sangat-sangat terhad. Fakta ini saya yakin kebenarannya memandangkan tempoh HO yang dipanjangkan kepada 2 tahun yang akibatnya - lambakan HO di hospital-hospital utama sekitar lembah klang. Dan ini disampaikan sendiri oleh wakil dari Kementerian Kesihatan yang menguruskan penempatan HO baru setiap tahun.
Ditambah satu lagi kemungkinan yang paling mendasar. Saya kelahiran sabah, berasal dari sabah, membesar dan beralamat tetap di Sabah. Maka, tidak ada alasan untuk saya memohon untuk bekerja di semenanjung ni. Cuma ada dua alasan yang agak BERAT dan JANGGAL bagi saya untuk menyokong permintaan saya, jika saya masih berdegil untuk minta berkhidmat di sini - tunang atau kahwin . Haih! Benarkah ia "semudah" itu?
12 hari lagi untuk kembali ke kampung halaman. Orangtua saya berhak untuk tahu dan campurtangan dalam pilihan saya nanti. Masa makin suntuk, dan saya makin bingung.
Redhakan hatiku Ya Tuhan!
Now, am asking myself..am i a complex thinker? or sounds 'desperado'?
RSS Feed (xml)
0 comments:
Post a Comment