Percaya ke tak percaya; Sedia ke tak sedia; Suka ke tak suka; kena terima hakikat ni juga. Hari ni dah 1 Julai 2009. Cepatnya masa berlalu. Rasa baru semalam saya sibuk edarkan risalah hukum tentang sambutan tahun baru 2009. Sekarang dah pun menjengah Julai. Minggu ni pula adalah minggu haluan siswa pelajar-pelajar baru. Terasa sangat tuanya diri saya ni. Mereka mungkin muda 5 atau 6 tahun dari saya. Serasa masih segar lagi saat-saat saya menjalani minggu haluan siswa di kolej dua lima tahun dulu. (Saya rasa macam nak nangis, boleh tak?) Jujur saja, bukan kenangan yang indah untuk dikenang. Saya bosan, sunyi dan ingin lari dari tempat itu dulu. Saya janggal berjauhan dari rumah dan keluarga. Saya takut dengan keadaan.
Dan hari ini, siapakah saya?. Sekejap lagi, saya akan habis belajar. Bersediakah saya meninggalkan alam pelajar sekarang? Berpuas hatikah saya dengan pencapaian saya selama ini?Entah kenapa spontan saja hati kecil saya menggeleng. Ahhh! Pahitnya kenyataan ini.
Masa saya baru sekolah rendah, saya masih ingat lagi. Saya dan kawan-kawan baik saya masa tu duduk di bawah pohon rambutan berhadapan dengan kantin sekolah. Pohon rimbun tu pula sebenarnya betul-betul terletak dekat dengan pintu pagar kecil yang memisahkan sekolah rendah tempat saya belajar dan sekolah menengah yang saya tak pernah bermimpi pun untuk menjejakinya. (Tapi takdir berbicara sebaliknya, Alhamdulillah Dia sebaik-baik pengatur). Masa tu, saya rasakan pelajar-pelajar sekolah menengah yang cuma tua tiga atau empat tahun dari saya tu, adalah orang yang dah dewasa! Saya tak dapat bayangkan yang saya akan berada di tempat mereka, berusia belasan tahun. Bagi saya, kehidupan kanak-kanak saya adalah yang paling manis, warna warni, indah dan mengasyikkan. Saya berkawan dengan budak-budak kampung. Bermain galah panjang, getah, kejar-kejar, kahwin-sanding, cikgu-murid, roundes dan macam-macam lagi. Saya ke sekolah rendah kebangsaan pagi ke tengahari, menumpukan perhatian pada pelajaran. Sedangkan di sebelah petang, sayalah taiko segala aktiviti merapu bermula dari ponteng sekolah sampailah mencuri-curi pinjam basikal junior untuk keluar ke gerai kecil di luar sekolah untuk membeli jajan! haha. Kalau boleh, saya enggan keluar dari dunia kanak-kanak itu. Kehidupan dewasa itu bosan dan menakutkan sebab akan bakal penuh dengan tanggungjawab dan perlu memilih.
Tamat sekolah rendah, saya sambung belajar di sekolah menengah yang berkongsi pagar dengan sekolah rendah saya tadi. Saya sedih tapi tidak saya zahirkan di depan ibubapa saya. Saya tidak suka bersekolah di situ. Pelajar-pelajarnya sangat nakal, akademik mereka sangat teruk dan sekolah itu sendiri kurang popular dibandingkan sekolah-sekolah berasrama atau sekolah agama di KK, Tawau atau Papar. Tapi, akhirnya saya terpaksa juga bersekolah di sana walaupun dengan hati yang sangat berat dan bengang. Malas pula rasanya untuk berurusan sana sini semata-mata untuk bersekolah di tempat jauh. Saya berkongsi rasa yang sama dengan sahabat baik saya masa tu. Kelakar juga rasanya, sebab kami memang sangat benci dengan sekolah tu mulanya. Tapi bila dah lama, kami pula yang terlebih-lebih sayang pada dia. Haha.
Bila dah masuk sekolah menengah pula, saya rasa saya dah boleh terima usia belasan tahun tu. Bukanlah tua sangat pun kan? Takut lebih-lebih pula. Tapi, saya masih tak boleh bayangkan yang saya akan menginjak usia 20-an.Tuanya! Haha, masih lagi konsep yang sama. Mungkin dah terpatri kemas di kepala saya ni pandangan bahawa menjadi dewasa itu MENAKUTKAN. Hari ini, saya bermuhasabah lagi. Usia saya sudah menjangkau 24 tahun. Lebih dari rasa takut bergumpal menyarang di jiwa saya saat ini.
Saya melalui banyak benda dalam hidup saya sehari-hari. Bukan sekali saya jatuh tersungkur, bukan sekali wajah saya menyembam ke bumi, sudah tak mampu terhitung darah luka yang mengalir membasahi jasad pengalaman. Tapi, tetap saja tidak terhitung banyaknya sisa-sisa dosa dan kesilapan yang tertinggal di sepanjang denai kehidupan. Tidak sempat dikutip dan dijadikan azimat peringatan buat diri. Padahnya, saya jatuh di lubang yang sama berkali-kali. Dan jatuh-jatuh itu lebih sakit dan perih lukanya!
RSS Feed (xml)
0 comments:
Post a Comment