Monolog 5: sahabat


Saya bukan tak peduli dengan kamu. Saya bukan tak nak ambil tahu langsung tentang masalah kamu. Cuma, saya bukan orang yang pandai menyatakan perasaan saya pada orang. Serius, ini masalah terbesar saya. Saya memerhatikan dalam diam, mengambiltahu tanpa perlu menyuarakan apa-apa. Kelak, jika perlukan bantuan dari saya, saya akan ke depan tanpa perlu kamu pinta.

Saya memikirkan banyak perkara tentang kamu. Saya cuma berharap kamu maafkan saya. Maafkan kedinginan saya terhadap kamu. Maafkan senyap saya pada kamu. Maafkan sikap saya yang kurang ramah pada kamu. Maafkan kesibukan saya yang membuatkan masa saya habis untuk orang lain. Bukankah perkara yang sama pernah saya lakukan untuk kamu beberapa tahun lepas, sewaktu awal perkenalan kita? Saya tidak minta balasan apa pun atas secuil kebaikan yang saya lakukan pada kamu. Saya tidak berkenan perkara-perkara tersebut diingat semula. Kerana saya bukannya siapa-siapa untuk dikenang-kenang. Jika itu terlalu payah untuk dilakukan, maka dengarkan ini. Saya tetap sahabat kamu yang boleh kamu cari bila-bila masa kamu perlukan saya. Tetapi, maaf sekali lagi. Tak perlu cari saya di saat kamu berkelapangan atau bersenang hati kerana kemungkinan besar masa saya terlalu suntuk untuk itu.

Saya terlalu kerdil untuk mengaku bahawa saya manusia yang sibuk dengan pelbagai urusan, mengalahkan Perdana Menteri mungkin. (Adehh!)Saya cuma manusia biasa, yang sangat sedar tentang keterbatasan diri saya. Saya kurang pandai membahagikan masa untuk diri sendiri. Kurang masa bersosial yang bertujuan merehat dan menyenangkan diri. Saya selalu menayang muka serius, bukan tanda saya tidak suka kehadiran kamu. Saya cuma membahagiakan diri dengan tanggungjawab. Saya cuma melarikan diri sekejap dari kepenatan saya belajar tentang banyak perkara setiap hari. Saya mungkin kejam pada diri, tetapi saya puas. Saya cuma kesal kerana itu menyakitkan kamu, mungkin.

Saya sangat yakin yang kamu sedang menjalani kebahagiaan dengan cara kamu. Saya sangat pasti yang kamu sudah sampai ke titik selesa dalam hidup kamu. punya kerjaya, punya keluarga yang boleh kamu ziarahi bila saja kamu mahu. Dan punya sahabat usrah yang sangat memahami dan mampu membimbing kamu. Kamu mungkin perlukan saya tetapi sekali lagi, saya bukan sahabat yang mampu mengagihkan 24 jam masa saya untuk orang-orang di sekeliling saya. Saya perlukan pengertian kamu, yang saya pentingkan orang lain yang lebih memerlukan saya berbanding kamu. Saya memilih mereka bukan kerana kekurangan kamu, sebaliknya kerana mereka tidak sehebat kamu. Mereka masih perlukan masa dan tenaga saya yang terbatas ini.

Saya berdoa semoga kehebatan kamu juga akan kelak dirasakan oleh sahabat-sahabat kamu yang memerlukan.

Semoga kamu semakin faham.


With love,

0 comments:

Post a Comment