Monolog 7: Adik

Bangun awal pagi ini. Banyak tugasan yang perlu disudahkan. Saya dah letak reminders dalam ruangan plurk saya tu. Petang ni mesti balik dengan kepala berat. 3 kelas, 2 jam setiap sessi dan tamat pada pukul 6 pm.

Saya kasihankan adik saya sebenarnya. Dah 3 hari duduk di bilik saya, tapi tak ke mana-mana . Dia pula datang lenggang kangkung tanpa angkut sekali laptop. Kalau ada, bolehlah dia surfing internet sepanjang duduk bersama saya ni. Kalau harap nak guna yang saya punya, memang agak mustahil sikit la, sebab saya jarang berenggang dengan laptop saya ni, kecuali kalau tak ada internet connection.Haha. Saya pula kesibukan menyiapkan kerja OMHS dan ada beberapa tugasan yang perlu dilakukan di luar. Jadi tinggallah dia berseorangan, membaca buku-buku politik kat bilik saya tu. hehe.. Sabar jelah. Oh, lupa nak bagitahu. Dia sebenarnya tumpang bilik saya beberapa hari saja. Sepanjang cuti semester baru-baru ni pula, dia kerja di kilang elektronik kat Klang. 2 minggu lagi kot semester baru buka. Saya tak pasti sangat jadual fakulti lain. Yang pasti, esok juniors baru masuk. Risau pula saya kalau-kalau batch saya rancang buat angkara untuk ragging budak-budak juniors nanti. Saya dah kata saya tak nak join sekaki atau setangan atau seinci pun dari diri saya ni di dalam program ragging tu nanti. (Kolej dan fakulti saya ni terkenal dengan masalah ragging pelajar baru. Satu-satunya kolej yang masih amalkan tradisi tersebut. memang tradisi!).Saya dah nekad untuk jadi senior yang baik sejak saya Tahun 1, memandangkan saya sendiri tak pernah diragging oleh seniors. Saya berjaya melarikan diri dan kebetulan saya bukan duduk di kolej khas untuk pelajar-pelajar perubatan masa tu. 'Tuah' berpangkal nama huruf A, kena campak ke kolej lain pula. hehe

Berbalik tentang adik saya. Kami empat beradik, 2 pasang. Saya sulung, dan dia muda setahun dari saya. Saya masih ingat waktu kami kecil-kecil dulu. Hubungan kami kurang mesra, mungkin sebab saya yang sering mendapat perhatian berlebihan dari parent,kawan-kawan, guru dan saudara mara. Realitinya, saya anak yang penurut, patuh, skema dan rajin. Saya tak bijak, tapi sikap rajin dan disiplin masa tu menyebabkan saya mampu cemerlang dalam pelajaran. Ditambah dengan sikap memerap di rumah dan tak keluar ke sana sini membuang masa dengan kawan-kawan. Di sinilah, perbezaan kami agak ketara. Dia lebih tahu bersosial, terlebih berani, 'huha-huha' dan kurang percaya dengan ahli keluarga. Kawan-kawan adalah pihak yang paling dekat, tetapi pada masa yang sama sering juga bermasalah. Tak faham betul saya. Masa saya di rumah dulu, sering juga saya tinggikan suara dengan dia kalau dah mula menimbulkan masalah dengan mak bapak. Saya hanya akan marah bila berdepan dengan dia. Saya sedih kerana terpaksa bertegas dan sedikit kasar pada dia. Kawan baik saya sendiri pelik, kenapa kami ni jauh berbeza? Kenapa saya berubah bila berdepan dengan dia, tapi bukan dengan adik-adik saya yang lain?. Saya sayangkan dia, tapi dengan cara yang lain. Saya mahu dia berubah, sekurang-kurangnya jadi anak yang patuh taat pada mak bapak. Itu saja. Saya sangat yakin, itu kunci untuk berjaya di dunia dan akhirat.

Bila difikir-fikir semula, saya rasa saya semakin faham. Menjadi anak kedua, seringkali akan dibanding-bandingkan dengan anak sulung. Eh, tak kisahlah. Jadi anak nombor berapa pun, akan selalu dibandingkan dengan adik beradik yang lain. Lebih-lebih lagi, kalau ada siblings yang 'terlebih' atau 'terkurang' dalam mana-mana aspek. Bila dah dinilai dengan tolok-ukur begini, susahlah. Jika masa boleh diputar kembali, saya rasa saya nak minta agar orang-orang di sekeliling saya dulu tidak membandingkan dia dengan saya. Dia tak mungkin jadi saya, dan saya bukan dia. Mungkin niat mereka baik, supaya kita boleh jadi sebaik adik beradik kita yang lain, tapi tetap saja jadi sebaliknya. Terpulang bagaimana kaedah perbandingan yang dilakukan dan pembawaan anak tu sendiri kan?.

Di sebalik kedegilan dan sikap keras kepala dia, saya tetap nampak kelebihannya yang paling utama. Dia sangat mandiri, tahu bergaul, berani dan yakin mempertahankan pandangan. Itu sikap yang kurang menyerlah dalam diri saya sebenarnya. Kan saya dah kata, setiap orang pasti punya kelebihan dan kekurangan masing-masing. Semakin kita dewasa, sikap-sikap tersebut perlu dan wajib ada supaya kita lebih bijak mengurus diri dan tanggungjawab. Ahhh...tanggungjawab lagi. kan bagus jadi kanak-kanak ribena, dijaga rapi dan segalanya telah tersedia. Menjadi dewasa, perlu bijak memilih, dan ini sebenarnya sukar. Betul tak?

Alhamdulillah, dia sekarang dah sambung belajar semula, setelah bermasalah dan tertangguh untuk masuk ke IPT beberapa tahun. Dalam tempoh masa tu, macam-macam yang dia belajar tentang hidup. Saya tak nak kongsikan kisah-kisah itu di sini. Lain kali saja, kalau saya rajin. Yang pasti, semua itu menyebabkan dia insaf dan berubah tentang banyak perkara. Dia jauh lebih matang. Banyak benda yang dah berubah sebenarnya, cuma saya saja yang kurang peka.

Nota:

Saya letakkan lagu kegemaran saya di ruangan sidebar. Alby nadaak. Saya suka lagu tu. Muziknya sedap didengar, walaupun maksud lagu tu tak sesuai dengan situasi saya. Selamat mendengar!

0 comments:

Post a Comment